25 Mar 2025
Sidang Injil Borneo (SIB) telah secara rasmi mengiktiraf Alkitab Versi Borneo (AVB).
Ketiga-tiga Presiden SIB/BEM (Sabah/Sarawak/Semenanjung) telah menandatangani secara rasmi suatu dokumen menandakan penerimaan dan penggunaan Alkitab Versi Borneo (AVB) di dalam SIB/BEM.
Terjemahan AVB tinggi mutunya, yang akan menyumbang ke arah memperkasakan Jemaah Kristian berbahasa Malaysia negara ini. Ketelitian terjemahan AVB dan kesetiaan kepada pemikiran penulis-penulis kitab-kitab asas, sesuai digunakan untuk pengkajian, pendidikan, khutbah, pembacaan awam dan liturgi Kristian.
Presiden-presiden SIB/BEM Mesyuarat Majlis Gabungan SIB/BEM Sabah, Sarawak & Semenanjung
Dalam surat rasmi yang diedarkan kepada para pastor/penatua gereja-gereja SIB/BEM, ketiga-tiga presiden itu menyatakan bahawa “Mesyuarat Majlis Gabungan (MMG) SIB Sabah, BEM/SIB Sarawak dan SIB Semenanjung pada 26-27 Februari 2016 telah sebulat suara bersetuju untuk mengiktiraf AVB sebagai salah satu terjemahan Alkitab Bahasa Melayu untuk dirujuk dan diguna pakai oleh penganut-penganut Kristian di Malaysia.”
Surat itu juga memberi penerangan mengenai Alkitab Versi Borneo itu: “Terjemahan AVB merupakan penterjemahan baru, dibuat berasaskan teks Ibrani dan Yunani oleh satu pasukan pakar tempatan serta dibantu oleh pakar dari luar negara. Terjemahan AVB tinggi mutunya, yang akan menyumbang ke arah memperkasakan Jemaah Kristian berbahasa Malaysia negara ini. Ketelitian terjemahan AVB dan kesetiaan kepada pemikiran penulis-penulis kitab-kitab asas, sesuai digunakan untuk pengkajian, pendidikan, khutbah, pembacaan awam dan liturgi Kristian.”