Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Pengantar Penterjemah

Untuk selama-lamanya, ya TUHAN,

Firman-Mu bertapak di syurga

(Mazmur 119:89).

Segala pujian bagi Allah kerana dengan dorongan dan pimpinan-Nya yang luar biasa, satu terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia terkini berjaya diterbitkan.

Seperti bara yang digenggam biar sampai jadi arang, usaha gigih tenaga kerja yang memikul tugas berat ini selama lima belas tahun telah membuahkan satu kejayaan yang pasti tidak akan dapat dihargai sepenuhnya dalam dunia ini. Tenaga kerja besar itu terdiri daripada beberapa orang pakar penterjemah, ahli bahasa Ibrani dan Yunani, penyemak, peneliti teks dan pembaca pruf yang telah berusaha dengan cekal hati demi menjayakan satu hasil kerja daripada penterjemahan Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru berasaskan naskhah asal dalam bahasa Ibrani serta Yunani. Tidak kurang penting juga ialah sumbangan, galakan dan sokongan daripada pihak gereja berbagai-bagai aliran serta pertubuhan Kristian di rantau ini. 

Segala tumpuan telah diberikan untuk menyampaikan dengan tepat Firman Allah yang kekal. Tidak hairanlah, naskhah terjemahan ini sudah berulang-ulang dikerjakan, dikemaskini, diperbaharui dan dihalusi sebelum diterbitkan. Segala syukur dinaikkan kepada Allah Maha Hidup, atas pimpinan-Nya yang dicurahkan kepada setiap tahap dan proses penterjemahan Firman-Nya sampai peringkat penyudahan. Sesungguhnya, Yang Maha Kuasa pasti sentiasa melindungi Firman-Nya. 

Walaupun kitab-kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru telah diterjemahkan ke dalam beribu-ribu bahasa, naskhah asalnya yang tertulis dalam bahasa Ibrani serta Yunani tidak pernah berubah. Dalam terjemahan ini, cabarannya adalah untuk menyampaikan maksud teks asal dalam bahasa Malaysia terkini dengan tepat dan yang mudah difahami oleh pengguna semasa. Harus dimaklumkan bahawa terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia bukanlah usaha baru, tetapi sudah dilakukan bertahun-tahun dahulu, malah berabad-abad yang lalu. Antaranya ialah Injil Terjemahan oleh Ruyl (1629), Terjemahan Leijdecker ( 1733), Perjanjian Lama Klinkert (1879), Alkitab Shellabear (1912), dan Perjanjian Baru Bode (1938). Akan tetapi, memandangkan perlunya satu penterjemahan baru yang dapat memenuhi kehendak masyarakat Kristian dan gereja kini, maka terjemahan kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru ini dihasilkan.

Semoga Allah Yang Maha Penyayang, mencurahkan berkat berlipat ganda kepada para pembaca budiman Alkitab ini dan kebenaran Firman Allah tersemai dalam dasar hati mereka yang merenung Firman-Nya.

 

MUKADIMAH TERJEMAHAN

Latar Belakang

Bahasa Malaysia berkembang secara berterusan dan dengan pesatnya. Melalui proses pembinaan dan pemajuan serta pemodenan, bahasa Malaysia terkini banyak mengalami perubahan terutamanya dalam pengayaan perbendaharaan kata serta struktur. Oleh hal yang demikian, terjemahan Alkitab ini menggunakan bahasa Malaysia yang sesuai dengan keperluan pengguna agar tidak ketinggalan oleh arus perkembangan bahasa Malaysia. Yang lebih penting lagi ialah terjemahan Alkitab ini mengasaskan bahasa teks asal dan lebih mendekati terjemahan harfiah.

Dalam keadaan inilah, Jawatankuasa Pengurusan Projek telah menggembleng tenaga sekumpulan orang Kristian yang terdiri daripada mereka yang memiliki kesarjanaan Alkitabiah, yang pakar dalam penggunaan bahasa Malaysia, yang terlatih dalam penterjemahan bahasa, dan takut akan Tuhan, untuk mengusahakan tugas terjemahan Alkitab yang amat berat ini.

Matlamat penterjemah utama ialah penyampaian Firman Tuhan yang menepati teks asal, dengan penuh ketelitian dan kesetiaan kepada maksud asal penulis kitab, serta dalam bahasa Malaysia yang indah, kerana pembaca-pembaca di rantau ini semakin terdidik dalam bahasa Malaysia moden. Makna perkataan yang bergantung kepada konteksnya, serta kepada aspek-aspek tatabahasa dan perbendaharaan kata dalam teks bahasa asal. Prinsip yang sama juga diamalkan dalam penterjemahan kepada bahasa Malaysia. Usaha ini menuntut perbincangan berlanjut-lanjutan antara para penterjemah serta perubahan yang kerap dalam struktur ayat, ungkapan, istilah dan tatabahasa. Dalam perkara ini, maklumlah masih banyak lagi yang dapat diusahakan untuk memperkemaskan kesempurnaan terjemahan Alkitab ini. 

Semoga Firman Allah yang disampaikan melalui Alkitab Versi Borneo terjemahan formal dan harfiah ini bukan sahaja mengubah seluruh fikiran tetapi juga seluruh sanubari kita, bak kata perumpamaan, ‘Laksana embun meresap ke hati.’

 

Ciri-Ciri Khas

Segala usaha telah dibuat untuk membuat terjemahan yang paling tepat berasaskan naskhah asli. Namun demikian, terjemahan Alkitab ini menitikberatkan gaya dan semantik bahasa, iaitu:

  1. Penggunaan ragam bahasa dalam perhubungan rasmi dan tulisan ilmiah yang diakui betul oleh penutur asli yang terdidik dalam bahasa Malaysia.

  2. Penggunaan tatabahasa yang lazim dan bahasa halus yang tersendiri dalam bahasa Malaysia diutamakan. Ciri-ciri ini dipertingkatkan lagi melalui penglibatan ahli bahasa, pakar penterjemahan serta pencinta bahasa yang diiktiraf kerana sumbangan cemerlang mereka dalam bahasa Malaysia dan kesusasteraan.

  3. Penggunaan kata pinjaman bahasa Arab juga digunakan khususnya kata yang membawa sesuatu makna yang lebih jelas dan jitu berbanding dengan makna yang termaktub dalam bahasa Malaysia, seperti ‘saumaah’, ‘maghrib’, dan sebagainya. Maklumlah di rantau ini, corak istilah pinjaman bahasa Arab lebih sesuai bagi pembaca berbahasa Malaysia berbanding daripada kata pinjaman yang berunsurkan bahasa Latin atau bahasa Inggeris.

  4. Penggunaan istilah yang dialihhurufkan daripada bahasa Inggeris dielakkan sejauh mungkin untuk mengukuhkan keaslian bahasa Malaysia. Sebaliknya, pilihan perkataan dalam bahasa Melayu Klasik lebih sesuai selaras dengan resam bagi sebuah naskhah yang kuno iaitu Alkitab.

  5. Penggunaan perkataan daripada bahasa Indonesia juga diterima sekiranya penggunaannya di rantau ini sudah meluas.

 

Penterjemahan Nama Ilahi

Dalam penterjemahan Alkitab ini, perhatian khas diberikan kepada nama dan gelaran ilahi seperti berikut: 

BAHASA ASAL

BAHASA INGGERIS

BAHASA MALAYSIA

Kata Ibrani:

 יָהּ - YAH 

 יְהוָה - YHVH / YEHOVAH

 

LORD

(semuanya huruf besar)

 

TUHAN

(semuanya huruf besar)

 

Kata Ibrani: 

אֲדֹנָי - ADONAY 

Kata Yunani: 

κυριος - KURIOS

 

 

Lord

 

Tuhan

Kata Ibrani:  

אֵל - EL 

 אֱלֹוהַּ - ELOAH

 אֱלֹהִים - ELOHIM

Kata Yunani:  

θεος - THEOS 

 

 

 

God

 

 

Allah

Kata Ibrani: 

YAH YEHOVAH

 

LORD GOD

(semuanya huruf besar)

TUHAN ALLAH

(semuanya huruf besar)

 

Kata Ibrani:

YEHOVAH ELOHIM

 

LORD God

(LORD huruf besar)

TUHAN Allah

(TUHAN huruf besar)

Kata Ibrani:  

ADONAY YEHOVAH

 

Lord GOD

(GOD huruf besar)

Tuhan ALLAH

(ALLAH huruf besar)

 

Proses Penterjemahan

Proses penterjemahan digerakkan melalui peringkat-peringkat berikut: 

  1. Penyeliaan Pengurusan: Jawatankuasa Pengurusan Projek yang terdiri daripada pemimpin gereja bertanggungjawab ke atas penggubahan asas-asas penterjemahan, menggembleng tenaga kerja dan sumber kewangan bagi semua peringkat penterjemahan, penyeragaman istilah-istilah penting, serta penyediaan alat-alat bantu khas untuk penterjemahan dan penerbitan Alkitab ini;

  2. Penterjemahan: Pasukan penterjemah terdiri daripada beberapa orang ahli bahasa Malaysia serta penterjemah profesional yang mengasihi dan takut akan Tuhan, serta terbukti berkemahiran, dan berkebolehan bahkan diiktiraf umum. Di antara penterjemah, ada yang hanya menterjemah, dan ada yang menguruskan tugas sebagai ahli gaya bahasa dan penyunting. 

Dengan merendah hati kepada Tuhan, para penterjemah telah bergantung kepada naskhah-naskhah asli terbaik yang ada, serta mengikut alat bantu dan panduan-panduan penterjemahan, untuk mempersembahkan Alkitab secara tepat dan indah dalam bahasa Malaysia. Hanya Roh Tuhan yang dapat menopang dan memampukan mereka yang menjalankan tugas suci ini selama 15 tahun sehingga penyempurnaannya.

  1. Penelitian Teks: Pakar-pakar perunding Alkitab yang merupakan sarjana bahasa Ibrani dan Yunani, turut menyumbangkan kepakaran secara berterusan dalam penyemakan berulang kali, demi memastikan kejituan penterjemahan serta darjah kesarjanaan yang tertinggi.

  2. Pengujian Teks: Teks terjemahan telah dihantar kepada segolongan besar pengguna Alkitab, penutur asli, pelajar kolej, dan pensyarah seminari untuk diuji tahap penerimaannya.

  3. Penyemakan dan Pembaca Pruf: Kalangan sukarelawan yang terdiri daripada penutur asli, tenaga pengajar bahasa Malaysia dan pencinta bahasa yang sanggup menjalankan tugas mereka dengan teliti serta penuh iltizam.

 

Kamus Alkitab

Kamus Alkitab singkat disertakan di bahagian akhir sebagai panduan bagi penjelasan dan kajian lanjutan. Yang tersenarai di dalamnya termasuk penjelasan istilah, penjelasan konsep Alkitabiah, nama-nama tempat dan orang penting.

Selain itu, rujukan silang dan catatan kaki ditambahkan untuk menolong pembaca memahami teks yang berkaitan dengan lebih terperinci.

 

Jadual Timbangan Dan Ukuran Alkitab

Jadual timbangan dan ukuran juga disertakan untuk menjelaskan ukuran panjang, sukatan isi cecair, sukatan bahan kering dan ukuran berat yang digunakan dalam Alkitab.

 

Peta Alkitab

Peta-peta juga disertakan untuk meningkatkan pemahaman akan tempat-tempat penting dalam Alkitab.