Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Perkahwinan di Kana

1Pada hari yang ketiga, suatu majlis perkahwinan diadakan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Yesus turut hadir. 2Yesus dan murid-murid-Nya juga dijemput ke majlis itu. 3Apabila air anggur yang ada habis diminum, ibu Yesus berkata kepada-Nya, "Mereka kehabisan air anggur."

4Yesus menjawab, "Puan, usahlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba."

5Namun demikian, ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di majlis itu, "Buatlah apa sahaja yang disuruh-Nya."

6Di situ ada enam buah tempayan yang digunakan untuk istiadat penyucian orang Yahudi. Tiap-tiap tempayan dapat memuat kira-kira seratus liter air. 7Yesus berkata kepada pelayan-pelayan, "Isilah tempayan-tempayan ini dengan air." Mereka pun mengisi penuh keenam-enam tempayan itu. 8Setelah itu, Yesus berkata pula, "Sekarang ambillah sedikit air itu, bawanya kepada ketua majlis." Mereka pun menghidangkan air itu kepada ketua majlis. 9Setelah ketua majlis merasa air yang telah menjadi air anggur itu, dia pun memanggil pengantin lelaki. Dia tidak tahu dari mana datangnya air anggur itu, tetapi para pelayan yang mengambil dan membawa air itu mengetahuinya. 10Dia berkata kepada pengantin lelaki, "Selalunya orang menghidangkan air anggur yang terbaik di awal majlis. Setelah tetamu banyak minum, dihidangkan pula air anggur yang biasa sahaja. Tetapi kamu menyimpan dahulu air anggur yang terbaik, sekarang baru dihidangkan!"

11Itulah mukjizat Yesus yang pertama dilakukan-Nya di Kana, Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya, maka murid-murid-Nya percaya kepada-Nya.