Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 25

A A A
Alkitab Versi Borneo

Ucapan syukur kerana musuh musnah

1Ya Tuhan, Engkaulah Allahku!

Aku hendak meninggikan Engkau, aku hendak memuji nama-Mu,

kerana Engkau telah melakukan keajaiban,

segala rancangan-Mu sejak dahulukala yang setia dan teguh.

2Sesungguhnya, Engkau telah membuat kota itu menjadi timbunan batu,

kota yang berkubu menjadi puing-puing.

Puri orang asing tidak lagi menjadi kota,

tidak akan dibangunkan lagi untuk selama-lamanya.

3Itulah sebabnya suku bangsa yang kuat akan memuliakan Engkau,

kota bangsa-bangsa yang kejam akan takut kepada-Mu.

4Sesungguhnya, Engkau menjadi benteng bagi orang miskin,

benteng bagi orang melarat dalam kesesakan,

tempat berlindung daripada angin ribut,

naungan daripada panas terik.

Sesungguhnya, hembusan nafas kalangan yang kejam itu

seperti angin ribut yang menerpa tembok,

5seperti panas terik di tempat yang gersang.

Engkau menamatkan cakap besar orang asing.

Seperti panas terik diredam oleh naungan awan,

demikianlah nyanyian mereka yang kejam dihentikan.

Penyelamatan bagi bangsa-bangsa di Sion

6Di gunung ini Tuhan alam semesta,

akan mengadakan jamuan dengan makanan berlemak bagi segala bangsa,

jamuan dengan air anggur yang disimpan lama –

makanan berlemak dan bersumsum

serta air anggur tersimpan lama yang murni.

7Di gunung ini juga Dia akan menyingkirkan tudung muka yang menudungi segala suku bangsa

dan selubung yang menyelubungi segala bangsa.

8BDia akan menelan maut untuk selama-lamanya.

Tuhan Allah akan menghapuskan air mata daripada setiap muka,

dan menyingkirkan cela umat-Nya

dari seluruh bumi,

kerana Tuhan telah berfirman.

9Pada waktu itu orang akan berkata, "Sesungguhnya, inilah Allah kita.

Kita sudah menantikan Dia,

dan Dia menyelamatkan kita!

Inilah Tuhan.

Kita sudah menantikan Dia!

Mari kita bergembira dan bersukacita dalam penyelamatan yang dikurniakan-Nya!"

10CKuasa Tuhan akan melindungi gunung ini,

sedangkan Moab akan diirik di tempatnya seperti jerami diirik di lubang kotoran.

11Moab akan merentangkan tangan di dalamnya sebagaimana perenang merentangkan tangan untuk berenang,

tetapi Tuhan akan meruntuhkan keangkuhannya bersama dengan tipu daya tangannya.

12Tembok-tembokmu yang berkubu dan tinggi akan dirobohkan-Nya,

direndahkan-Nya,

dan diratakan-Nya dengan tanah serta debu.