Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 23

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pernyataan ilahi tentang Tirus dan Sidon

1APernyataan ilahi tentang Tirus. Meraung-raunglah, wahai kapal-kapal Tarsis,

kerana Tirus telah rosak sehingga tidak ada rumah atau pelabuhan lagi.

Hal itu dinyatakan kepada mereka dari Tanah Siprus.

2Berdiam dirilah,

wahai penduduk pesisir,

wahai para saudagar Sidon!

Orang yang memenuhi keperluanmu mengharungi laut.

3Di perairan luas datang benih dari Sikhor.

Tuaian daerah Sungai Nil ialah penghasilannya,

sehingga kota itu menjadi pasar bagi bangsa-bangsa.

4Berasa malulah, wahai Sidon,

kerana laut, iaitu benteng laut, berkata demikian,

"Aku belum pernah merasakan sakit bersalin dan belum pernah melahirkan anak.

Aku belum pernah membesarkan anak lelaki,

atau mengasuh anak dara."

5Apabila khabar itu sampai ke Mesir,

mereka akan gementar mendengar khabar tentang Tirus.

6Menyeberanglah ke Tarsis,

meraung-raunglah, wahai penduduk pesisir.

7Inikah kotamu yang bersuka ria,

yang asalnya sejak zaman dahulu,

yang kakinya membawa dia pergi

ke tempat yang jauh untuk tinggal sebagai pendatang di sana?

8Siapakah yang merancangkan hal ini terhadap Tirus,

kota yang menganugerahkan mahkota,

yang saudagar-saudagarnya penguasa,

yang pedagang-pedagangnya orang mulia di bumi?

9Tuhan alam semesta, telah merancangkannya,

supaya ternista keangkuhan semua yang indah,

supaya terhina semua yang mulia di bumi.

10Lintasilah tanahmu seperti Sungai Nil,

wahai puteri Tarsis,

galangan kapalmu sudah tidak ada lagi.

11Allah telah menghulurkan tangan-Nya ke atas laut,

dan menggemparkan kerajaan-kerajaan.

Mengenai Kanaan, Tuhan telah memberikan perintah

untuk membinasakan benteng-bentengnya.

12Firman-Nya, "Engkau tidak akan bersuka ria lagi,

wahai anak dara yang ditindas,

wahai puteri Sidon!

Segeralah menyeberang ke Siprus!

Di sana pun engkau tidak akan mendapat ketenteraman."

13Lihatlah negeri orang Kasdim!

Bangsa itu tidak ada lagi!

Orang Asyur menjadikannya tempat haiwan gurun.

Mereka mendirikan menara-menara pengepungan,

lalu meruntuhkan puri-puri kota itu

dan menjadikannya puing-puing.

14Meraung-raunglah,

wahai kapal-kapal Tarsis,

kerana bentengmu telah dirosakkan.

15Pada waktu itu Tirus akan dilupakan selama tujuh puluh tahun, sepanjang umur seorang raja. Setelah tujuh puluh tahun berlalu, akan terjadilah kepada Tirus seperti dalam nyanyian perempuan sundal ini: 16"Ambillah kecapi, kelilingilah kota,

wahai perempuan sundal yang dilupakan!

Petiklah baik-baik,

nyanyikanlah banyak lagu,

supaya engkau diingat orang."

17Setelah tujuh puluh tahun berlalu, Tuhan akan melawat Tirus. Namun demikian, Tirus akan kembali mencari upah sundal dan berzina dengan semua kerajaan dunia yang ada di muka bumi. 18Nanti, keuntungan perniagaannya dan upah sundalnya akan dikhususkan bagi Tuhan, tidak akan ditahan atau disimpan. Keuntungan perniagaannya akan menjadi bahagian kalangan yang tinggal di hadapan Tuhan supaya mereka mendapat makanan yang mengenyangkan dan pakaian yang indah.