Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amsal 20

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Air anggur itu pencemuh, minuman keras itu membuat gaduh,

sesiapa yang terperdaya olehnya sememangnya tidak bijaksana.

2Murka raja laksana ngauman sang singa,

sesiapa membangkitkan amarahnya, kehilangan nyawanya.

3Terhormatlah orang yang menjauhi persengketaan,

tetapi setiap orang yang bodoh suka berbantah.

4Pada musim dingin si pemalas enggan membajak kerana kesejukan.

Maka dia mencari hasil pada musim menuai dan tidak mendapat apa-apa.

5Niat yang terkandung dalam hati manusia seumpama air yang dalam,

tetapi orang yang berpengertian dapat menyelaminya.

6Ramailah orang mencanangkan fasal kesetiaan mereka,

tetapi siapakah yang dapat menemui orang yang betul-betul setia?

7Orang benar yang hidup dalam keikhlasan,

begitu berbahagia sekali keturunannya!

8Raja yang duduk di atas kerusi pengadilan,

menyingkirkan segala kejahatan dengan matanya.

9Siapa dapat berkata, "Aku telah menyucikan hatiku,

dan aku tahir daripada dosaku"?

10Batu timbangan dan sukatan yang berbeza-beza,

kedua-duanya kekejian bagi TUHAN.

11Kanak-kanak pun dapat dikenal melalui perbuatannya,

sama ada kelakuannya bersih dan jujur ataupun tidak.

12Telinga yang mendengar dan mata yang melihat,

kedua-duanya dijadikan oleh TUHAN.

13Janganlah suka tidur, supaya engkau tidak menjadi miskin,

bukalah matamu, maka engkau akan berlebihan makanan.

14Kata si pembeli, "Tidak baik! Tidak baik!"

tetapi setelah pergi berbanggalah dia.

15Ada emas dan banyak batu permata,

tetapi bibir yang berpengetahuan ialah permata yang paling bernilai.

16Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya,

dan tahanlah dia sebagai jaminan ganti orang asing.

17Roti hasil tipu daya sedap rasanya bagi seseorang,

tetapi kemudian mulutnya penuh dengan batu kerikil.

18Rancangan terlaksana dengan adanya nasihat;

dan berperanglah dengan pimpinan yang ampuh.

19Seseorang yang ke sana ke mari sebagai pemfitnah membuka rahsia,

maka janganlah bersekongkol dengan orang yang bocor mulut.

20Sesiapa yang mengutuk ayahnya atau ibunya,

pelitanya akan dipadamkan ketika gelap gelita.

21Harta warisan yang mula-mulanya diperoleh dengan segera,

akhirnya tidak diberkati.

22Jangan berkata, "Aku hendak membalas kejahatan!"

Nantikanlah TUHAN, maka Dia akan menyelamatkanmu.

23Batu timbangan yang berbeza-beza adalah kekejian bagi TUHAN,

dan neraca tipuan tidaklah baik.

24Langkah-langkah manusia ditentukan oleh TUHAN.

Maka bagaimana manusia dapat mengerti jalannya sendiri?

25Terjeratlah seseorang yang terburu-buru mengatakan sesuatu itu "Suci,"

dan hanya memikirkannya semula setelah dia bernazar.

26Raja yang bijak menyingkirkan orang durjana,

lalu mengirik mereka secara berulang-ulang.

27Roh manusia seumpama pelita TUHAN,

yang menyelami seluruh sanubarinya.

28Kasih kurnia dan kesetiaan melindungi raja,

belas kasihan pula menopang takhtanya.

29Kemuliaan orang muda adalah kekuatannya,

dan kehormatan tua-tua ialah uban mereka.

30Bilur-bilur luka mengumbah kejahatan,

dan pukulan pula membersihkan sanubari.